5 Tanda-Tanda Keras Hati Menurut Islam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Mungkin kita pernah terbaca bagaimana seorang bapa sanggup mencabuli anaknya, seorang pemimpin sanggup mengambil wang rakyatnya, seorang penjawat awam dengan senang hati mengambil duit kopi secara tersembunyi. Bermain-main persoalan di minda, mengapakah mereka sanggup melakukan hal-hal sebegitu?

Tidakkah mereka terfikir ada jiwa yang rosak akibat sumbang mahram tersebut, ada keluarga yang sukar meneruskan kehidupan akibat tidak mempunyai makanan untuk dimakan sehari-hari atau ketidakerkatan makanan haram yang disuapkan kepada ahli keluarga mereka? Apakah yang menyebabkan perkara yang jahat itu disanggupkan sehingga integriti ditolak tepi?

Sebenarnya setiap perubahan yang berlaku dalam diri kita ini berlaku disebabkan perubahan seketul daging iaitu hati. Andai hati keras, maka keras lah perbuatan kita. Andai hati lembut dan lentur, maka mudahlah kita mengerjakan ibadahNya.

Dalam suatu hadis Nabi Muhammad SAW bersabada: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati.” (Sahih Muslim)

Firman Allah SWT di dalam Surah Az-Zumar ayat ke 22, yang bermaksud: “Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang hatinya membatu)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.”

Besarnya kesan hati yang keras ini ia akan memberi kesan yang buruk kepada diri individu tersebut. Individu akan memecahbelahkan keluarga, keluarga yang rosak akan menjadikan masyarakat kucar kacir dan masyarakat yang kucar-kacir boleh memporak porandakan sebuah negara.

Diantara perkara-perkara yang mengeraskan hati adalah:

1.Meremehkan dosa-dosa kecil

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan ‘ar raan’ yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang ertinya), “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (At-Tirmidzi)

Perkara-perkara yang besar bermula dengan tindakan kecil termasuklah dosa. Berdasarkan hadis ini, semakin banyak dosa yang dilakukan, akan semakin menambahkan titik hitam di hati seserorang.

Noda hitam jika makin bertambah akan semakin menjauhkan dirinya dari cahaya untuk mendekati Allah. Justeru, orang yang gelap hati ini tidak merasakan kepentingan untuk menjaga hak Allah dan hak manusia lain kerana sibuk membesarkan nafsunya.

2. Gurauan dan ketawa yang berlebihan

Orang Islam perlu sentiasa kelihatan ramah, senyum dan menjauhkan diri dari bermasam muka. Namun, ketawa secara berlebihan di dalam ketawa adalah perlu elakkan dalam agama.

Nabi Muhammad bersabda: “Dan janganlah terlalu banyak tertawa. Sesungguhnya terlalu banyak tertawa dapat mematikan hati.” (At-Tirmidzi)

Gurauan yang berlebihan memalingkan hati kita dari perkara-perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, seperti realiti tentang kematian dan hari akhirat kerana ketawa telah melalaikannya. Menurut Al-Mawardi, orang yang banyak ketawa juga tidak memiliki wibawa dan kehormatan.

Nabi Muhammad bersabda: “Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.” (Al-Bukhari)

3. Bicara yang berlebihan tanpa mengingati Allah

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah kalian banyak bicara tanpa mengingati Allah. Sesungguhnya banyak bicara tanpa mengingati Allah boleh menyebabkan kerasnya hati. Sedangkan orang yang paling jauh daripada Allah adalah orang yang hatinya keras.” (At-Tirmidzi)

4. Makan yang berlebihan

Nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin (yang beriman) makan pada satu perut, manakala seorang kafir makan pada tujuh perut.” (Al-Bukhari)

Tidak ada yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan yang menguatkan otot-ototnya, namun bila dia harus memakan makanan yang banyak, maka hendaklah dia mengatur sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafas(nya).” (At-Tirmidzi)

Apabila perut kita terlalu kenyang, sukar untuk kita menumpukan perhatian pada hati menyebabkan tumbuhnya rasa malas beribadah dan suka untuk bermalas-malasan. Justeru, makanlah secara sederhana dan banyakkan berpuasa untuk mengelakkan keras hati.

5. Pergaulan dengan orang yang salah

Mereka yang biasa bergaul dengan orang yang mencuri hakikatnya berpotensi juga untuk mencuri. Sebab teman bergaul akan memperngaruhi banyak aspek kehidupan. Rakan yang baik akan menegur dan menasihati andai ada kesalahan dilakukan.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Furqan ayat 27-29 yang bermaksud:

Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? -Surah Al-Furqan ayat 27

“Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! -Surah Al-Furqan ayat 28

“Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”. -Surah Al-Furqan ayat 29

Kesimpulannya

Peliharalah diri kita sebaik mungkin dari melakukan perkara yang mengeraskan hati. Kerana orang yang keras hati, tidak akan dibukakan pintu-pintu hikmah yang memberi kebaikan padanya.