Kesenian di Kelantan Mesti Selari Dengan Syariat Islam – MB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK – Segala bentuk kesenian yang dibangunkan di Kelantan mesti selari dengan syariat Islam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ketetapan dasar itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam mempertahankan seni yang tidak melanggar batas syarak.

Menurutnya, pada 90-an, perubahan penting telah dilaksanakan dalam bidang kesenian dan pelancongan menerusi penggubalan Dasar Kesenian Kelantan 1990 bagi memelihara akidah umat Islam daripada terpengaruh dengan unsur seni yang bertentangan dengan syarak seperti khurafat, syirik serta maksiat.

“Bagi memperkukuh dasar tersebut, kerajaan negeri telah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998. Enakmen ini menjadi asas perundangan supaya semua aktiviti kebudayaan dan kesenian yang dianjurkan di Kelantan mematuhi syarak.

Tarian yang dipersembahkan kepada hadirin pada Majlis Penutupan FKRK 2025.

“Melalui strategi penghayatan Membangun Bersama Islam, kerajaan negeri juga akan memastikan bahawa segala bentuk kesenian yang dibangunkan di negeri ini adalah selari dengan syariat Islam,” katanya dalam ucapan Penutupan Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2025 di Pantai Irama, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Hari.

Mohd Nassuruddin berkata, Kelantan kaya dengan seni budaya yang unik dan berakar daripada sejarah panjang serta kedudukan strategik yang bersempadan dengan wilayah Selatan Thailand.

“Kelantan pernah menjadi pusat perkembangan ilmu Islam Nusantara pada abad ke-19 yang memberi impak sangat besar dalam pertembungan kesenian dan kebudayaan sehingga mencetuskan seni rakyat seperti wayang kulit, makyung, main puteri, menora serta dikir barat.

“Ketika ini, kita dapat lihat tinggalan khazanah dan warisan nenek moyang yang mempunyai nilai keunikan tersendiri serta wajar dipelihara agar identitinya tidak hilang ditelan zaman, selagi mana tidak bercanggah dengan nilai-nilai moral atau batasan agama,” ujarnya.

Sumber : SINAR HARIAN