Setiap daripada kita pasti pernah berhutang seperti meminjam wang daripada ahli keluarga atau rakan-rakan disebabkan kesempitan hidup dan sebagainya.
Hutang dengan pihak bank seperti pinjaman rumah atau kenderaan, pembayarannya telah ditetapkan dalam satu tempoh dan kebiasaannya kita tidak culas membayarnya kerana telah menjadikan ia rutin bulanan.
Namun begitu, bagi hutang seperti meminjam wang daripada ahli keluarga atau rakan-rakan, berapa ramai daripada kita yang mencatatnya atau membayarnya dalam tempoh ditetapkan.
Ada juga sesetengah yang terlupa pernah berhutang dengan orang lain sehingga tidak membayarnya. Dalam Islam, mencatat hutang telah dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran.
Allah SWT berfirman; (Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. (Surah al-Baqarah (282)
Menerusi penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu, ulama berselisih pendapat tentang kewajipan menulis atau mencatat hutang melalui ayat di atas.
Ada sebahagian ulama yang berpendapat bahawa mencatat atau menulis hutang itu adalah wajib. Namun, pendapat oleh majoriti ulama adalah sunat hukumnya dan sekiranya tidak dilakukan tidak mengapa. (Rujuk Tafsir al-Mawardi 354/1[1]; Tafsir al-Baghawi 349/1[2]; Tafsir al-Baidawi 164/1[3])
Mencatat hutang disunatkan disebabkan supaya lebih berhati-hati dalam urusan agama dan dunia serta akan dapat mencegah penghutang daripada sikap lalai dan lupa untuk melunaskan hutangnya apabila tiba waktunya. (Rujuk Ahkam al-Quran li al-Jassas 584-585/1[4]; Fiqh al-Tajir al-Muslim h.45[5])
Perkara yang berkaitan dengan hutang seringkali membawa kepada perbalahan antara pemberi hutang dan penghutang terutamanya sama ada orang tersebut betul-betul berhutang atau tidak dan juga berapa jumlah yang dihutangnya.
Mencatat hutang akan dapat mengelakkan pertikaian dan perbalahan tersebut berlaku. Hal ini dapat dilihat melalui apa yang dinyatakan penulis kitab al-Fiqh al-Manhaji seperti berikut:
(Maksudnya): Adalah disunatkan untuk mencatat akad dan jumlah hutang dan segala perkara berkaitan dengannya yang mana akan dapat mengelakkan pertikaian. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji 46/6)
Menerusi perbincangan yang dinyatakan di atas, jelaslah hukum mencatat hutang adalah sunat dan amat digalakkan kerana dapat mengelakkan pertikaian antara dua pihak. Mencatat hutang juga mengelakkan penghutang daripada terlupa dan lalai dalam melunaskan hutangnya.
Namun begitu, tidak menjadi kesalahan sekiranya ia tidak dilakukan.
Sumber: MSTAR