Khabar Pantai Timur: Pengalaman Medik di ‘Off-Shore’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pekerjaan off-shore atau luar pesisir adalah kerjaya yang tak asing lagi di Terengganu. Perkongsian di Manis Manis Pagi bersama Bell Dakao akhirnya merungkai bahawa pekerjaan luar pesisir dan pelantar minyak ada perbezaan dan kategorinya. Namunpun begitu, ada jabatan asas yang sama dan jumlah pekerja pada suatu-suatu masa dikatakan melibatkan 200 orang.

“Kerja medik sama sahaja macam di klinik, ada pesakit dan ada ubat. Sekiranya kita tak boleh nak rawat atau ‘handle’ kita hantar balik menggunakan helikopter atau ‘trooper’, kalau yang tak teruk kita hantar balik menggunakan bot.”, katanya ketika ditanyakan tentang skop kerjanya.

Bercakap mengenai pengalaman merawat pesakit yang teruk yang pernah dialaminya, Bell menjelaskan bahawa selain demam, batuk dan selsema, ada juga setakat ini pekerja yang terkena serangan jantung, dan tekanan darah tinggi yang sangat teruk.

“Sekiranya kami tak dapat nak rawat, kami akan terus buat ‘referral’ , dapatkan bantuan helikopter untuk menghantar pesakit ke darat secepat yang mungkin bagi mendapatkan rawatan yang lebih lengkap.‘, ulasnya berkenaan jalan penyelesaian medik walaupun kelengkapan asas medikasi di offshore telah lengkap untuk rawatan-rawatan awal.

Petugas medik di luar pesisir hanya satu orang sahaja untuk menjaga kebajikan 100-200 orang pekerja yang lain dan waktu bekerja pula adalah 12 jam bermula 6:30 pagi sehingga 6:30 petang. Meskipun ia ditetapkan begitu, beliau berkata petugas medik perlu sentiasa bersiap sedia sekiranya ada kecemasan pada bukan waktu bekerja.

“Kira on-call sahajalah 24 jam, sesiapa yang ingin dapatkan rawatan selepas jam 6:30 petang boleh kejut kami di bilik tidur”,ujarnya lanjut.

Ramai yang tertanya-tanya akan fobia atau trauma yang dialami pekerja di atas ‘platform’ atau pelantar. Menurutnya, beliau yakin sekiranya seseorang itu takut dengan laut, mereka tidak memohon bekerja sebegitu. Bahkan, lebih menyeronokkan apabila para pekerja boleh melihat hidupan laut dari atas, dengan kehadiran ikan lumba-lumba, ikan paus, penyu dan macam-macam lagi.

Setiap waktu terluang di atas kapal pula tidaklah dihabiskan begitu sahaja. Selepas waktu bekerja, pekerja bebas melakukan apa sahaja kerana hiburan juga diperuntukkan di atas platform terbabit. “Kita ada siaran televisyen, ‘playstation’ PS5, Nintendo dan banyak permainan video untuk menyenangkan hati selepas bekerja dan rilek-rilek”, balasnya ketika ditanya aktiviti yang dilakukan selepas waktu bekerja.

Medik di pelantar minyak memerlukan bantuan bot dan helikopter untuk mendapatkan rawatan segera. Ujarnya, durasi bantuan dari darat sampai ke pelantar adalah berbeza mengikut tempat. Bermula bulan November hingga Mac, musim monsun menggalakkan mereka menggunakan bantuan helikopter. Bulan-bulan yang lainnya hanya menggunakan bot sahaja.

Pengalaman Bell Dakao bekerja sebagai petugas medik di pesisir luar mengagumkan penyampai Manis Manis Pagi apabila beliau turut berkongsi bahawa selama tujuh tahun, telahpun empat kali beliau menyambut hari raya Aidilfitri jauh di perantauan.

“Untuk merasakan suasana raya, kebanyakannya memakai baju ‘coverall’ untuk perlindungan semasa bekerja, dan memakai kain pelikat yang dijadikan sampin. Itu baju raya offshore”, selorohnya berkenaan sambutan raya di sana.

Pada mereka yang ingin bekerja sama seperti Bell Dakao, dibahagian medik khususnya, beliau menasihatkan bahawa hati yang cekal adalah perlu kerana terpaksa berjauhan daripada orang yang tersayang dan bekerja lebih masa adalah sesuatu yang pasti, tempoh 14 hari cumalah atas kertas jadi harus sentiasa bersiap sedia.

Selain itu, pembelajaran juga penting untuk diterapkan, carilah ilmu di kolej-kolej atau institusi medik khususnya dan lampirkan kelayakan masing-masing di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Setelah lengkap semuanya, anda bakal ditapis samada sesuai untuk sesuatu jabatan ataupun tidak.