KPDN Menerusi Ops Tiris 3.0 Berjaya Rampas 4,000 Liter Diesel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BANDAR PERMAISURI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu tapak pembinaan simpan diesel tanpa permit semalam, menerusi Ops Tiris 3.0.

Dalam serbuan itu, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, telah dirampas 4,000 liter diesel yang disyaki bersubsidi dianggarkan RM12,000 dalam serbuan di sebuah tapak projek pembinaan di Kampung Langkap.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pihak syarikat pembinaan itu gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan KPDN untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Saharuddin berkata KPDN memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak sesekali melakukan kesalahan seumpama itu kerana boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5 juta.

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara, bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala untuk kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

-BHarian