Kuarters Sekolah Diarah Dikosongkan Kerana Tanah Mendap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Bangunan kuarters empat tingkat Sekolah Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan hari ini, diarah dikosongkan susulan kejadian tanah mendap berhampiran kuarters itu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berikutan itu, seramai lapan keluarga membabitkan 24 penghuni dipindahkan sementara di asrama sekolah berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah berlaku tanah mendap berhampiran kuarters pada jam 8.55 pagi, hari ini.

“Bangunan kuarters telah dikosongkan oleh semua penghuni bagi langkah keselamatan dan mereka dipindahkan sementara di asrama sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, arahan pengosongan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, pemasangan papan tanda amaran dan pita penghadang amaran diletakkan di lokasi kejadian.

“Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di kawasan terbabit.

“JKR turut memaklumkan, penyiasatan tanah dan tapak oleh Bahagian Struktur dan Cerun secara terperinci akan dibuat bagi tujuan pembaikan kawasan mendapan tanah,” katanya.

– BERITA HARIAN