Laungan Takbir ‘Allahuakbar’ Iringi Himpunan Sumud Flotilla

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Laungan takbir ‘Allahuakbar’ dan ‘hancur Israel’ bergema dalam Himpunan Sumud Flotilla #Stand4Sumud di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai tanda protes ke atas sekatan misi Global Sumud Flotilla (GSF) pada Khamis.

Kumpulan orang ramai terdiri daripada pelbagai lapisan umur mula berkumpul jam 3 petang.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kalangan peserta membawa plakad dan paparan gambar rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi GSF.

Malah ada yang menzahirkan rasa sebak selepas insiden yang menimpa misi GSF serta nasib rakyat Palestin yang dizalimi zionis Israel.

Peserta mula melaungkan ‘Hidup Palestin’, ‘Hancur Zionis’ sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kira-kira jam 4 petang.

Pihak penganjur juga mengingatkan peserta untuk tidak membuat sebarang provokasi.

Media sebelum itu melaporkan seramai 201 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara, termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa, awal pagi Khamis.

Penahanan berskala besar itu disahkan aktivis kemanusiaan Malaysia di Gaza, Nadir Al-Nuri.

Setakat jam 10 pagi, Sinar Harian melaporkan 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza.

Sumber : SINAR HARIAN