Lebih 200 Honda Klasik C70 ‘Tawan’ Pantai Sri Tujoh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT: Seperti hari kelepasan am lain, suasana di Pantai Sri Tujoh yang terkenal dengan keindahan pantainya setiasa meriah dengan pengunjung untuk bersantai dan menjalankan aktiviti rekreasi bersama-sama keluarga serta rakan taulan.

Namun, suasana kawasan pelancongan ini semakin bertambah, sempena cuti perayaan Deepavali apabila lebih 200 motosikal klasik Honda C70 ‘menawan’ kawasan pantai yang menghadap Laut China Selatan itu dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik.

Presiden Kelantan Custom Rare Shazwan Saupi berkata program diadakan melibatkan kerjasama kelab Rachun Dhoniaa, kelab motosikal klasik Honda C70 dari utara tanah air.

“Gathering V2 Kelantan Custom Rare dengan tema ‘Orang Lama Kembali Lagi’ berjaya mengumpulkan lebih 200 peserta melibatkan ahli kelab Kelantan Custom Rare serta Rachun Dhoniaa dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, selain pemilik motosikal dari Terengganu,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Menariknya, selain menunggang motosikal klasik, peserta terlibat mengenakan pakaian gaya orang lama lengkap dengan semutar (kain pelilit kepala) dan songkok sebagai simbolik tema sambutan.

Bercerita lanjut, Shazwan berkata program diadakan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangnan ahli kelab pemilik motosikal klasik itu.

“Sebagai tuan rumah, kita meraikan sahabat dari utara tanah air. Malah untuk sesuaikan dengan tema program, ahli kelab Kelantan Custom Rare turut menyiapkan sebuah gerai atau kedai kopi yang dibina menggunakan kayu terbuang bagi mengembalikan nostalgia serta gaya lama pada aktiviti hari ini,” katanya.

Menurut Shazwan program sehari itu diadakan bermula 12 tengah hari hingga 11 malam ini.

“Selain berkumpul, kita turut adakan pameran motosikal klasik, acara sukaneka, solat berjemaah, kuliah agama, bacaan tahlil, pertunjukan api dan cabutan bertuah,” katanya.

— BERNAMA