Lebih 280 Maut, Ratusan Cedera Nahas Tiga Kereta Api Di India

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BALASORE: Sekurang-kurangnya 288 terbunuh dan lebih 850 cedera dalam perlanggaran ngeri membabitkan tiga kereta api di India semalam, kemalangan kereta api terburuk di negara itu dalam tempoh lebih 20 tahun.

Perlanggaran berlaku kira-kira 7 malam waktu tempatan (1330 GMT) apabila Howrah Superfast Express, yang bergerak dari Bangalore ke Howrah, West Bengal, bertembung dengan Coromandel Express, dari Kolkata ke Chennai.

Imej dari lokasi nahas menunjukkan bahagian kereta api berlubang dan berlumuran darah berhampiran Balasore, di negeri timur Odisha.

Gerabak kenderaan itu terbalik sepenuhnya dalam nahas yang berlaku semalam dan pekerja penyelamat mencari mangsa terselamat yang terperangkap dalam serpihan, dengan puluhan mayat diletakkan di bawah kain putih di sebelah landasan.

Pada awal pagi hari ini, pekerja penyelamat dapat melihat sepenuhnya korban nahas ngeri itu.

Ketua pengarah Perkhidmatan Bomba Odisha, Sudhanshu Sarangi, berkata jumlah kematian adalah seramai 288 orang.

“Kerja menyelamat masih diteruskan,” katanya kepada AFP dari lokasi kemalangan dan memaklumkan, terdapat banyak kecederaan serius dalam kalangan mangsa.

India tidak asing lagi dengan kemalangan kereta api dan pernah menyaksikan beberapa nahas itu sebelum ini, dengan yang paling teruk pada 1981, apabila sebuah kereta api tergelincir semasa menyeberangi jambatan di Bihar dan terjunam ke dalam sungai, mengorbankan antara 800 dan 1,000 orang.

Bagaimanapun, kemalangan semalam dipercayai yang terburuk sejak 1990an.

Ketua Setiausaha Negara Odisha, Pradeep Jena mengesahkan, kira-kira 850 orang yang cedera dihantar ke hospital akibat kemalangan itu, yang berlaku kira-kira 200 kilometer (km) dari ibu negeri Bhubaneswar.

“Keutamaan kami kini adalah menyelamatkan (penumpang) dan memberikan sokongan kesihatan kepada mereka yang cedera,” katanya.

Pengarah Eksekutif Indian Railways, Amitabh Sharma memberitahu AFP, dua kereta api penumpang yang sedang bergerak terbabit dalam kemalangan itu, manakala kereta api ketiga, iaitu kereta api barangan yang diparkir di lokasi, turut sama terbabit.

Seorang mangsa yang terselamat memberitahu wartawan penyiaran tempatan, dia sedang tidur ketika kemalangan itu berlaku dan tersedar selepas mendapati dirinya terperangkap di bawah sejumlah penumpang, sebelum merangkak keluar dari gerabak dengan kecederaan di leher dan lengan. – AFP

Sumber: BERITA HARIAN