Lelaki Ditahan Miliki 16 Burung Bayan Puling Tanpa Permit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kemaman: Seorang lelaki ditahan bersama 16 ekor burung dipercayai jenis bayan puling miliknya dalam satu operasi yang dilakukan di sebuah rumah di Kijal, dekat sini, petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 3, ACP Zulafendi Hasan berkata, operasi itu dilakukan membabitkan anggota polis marin Kuala Terengganu bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis terbabit menemukan burung terbabit yang merupakan spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (akta 716).

“Hasil siasatan yang dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun itu mengaku kesemua burung terbabit adalah miliknya.

“Lelaki terbabit bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit khas daripada Perhilitan,” katanya.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM80,000 dan kes berkenaan disiasat mengikut akta pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Siasatan lanjut berhubung dengan kejadian itu masih dilakukan dan pihak kami menegaskan tidakan memiliki, menyimpan atau memperdagangkan hidupan liar tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman.

“Aktiviti terbabit bukan saja melanggar undang-undang malah mengancam kelestarian alam sekitar dan keseimbangan ekosistem,” katanya.

Katanya, orang ramai bolehlah menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan kegiatan jenayah dengan menghubungi talian 09 5137726 atau email GERAKANW3@gmail.com.

Sumber: Harian Metro