Mahkamah Pakistan Benarkan Imran Khan Diikat Jamin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ISLAMABAD – Mahkamah Pakistan pada Selasa membenarkan bekas perdana menteri Imran Khan diikat jamin sehingga bulan depan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mahkamah Antikeganasan (ATC) memberikan perlindungan kepada Khan daripada ditahan sehingga 8 Jun, kata jurucakap parti Khan, Ahmad Janjua.

Bekas pemimpin itu dibenarkan ikat jamin dalam lapan kes keganasan kerana menghasut penyokongnya untuk melakukan keganasan di kompleks kehakiman persekutuan pada Mac.

Khan menghadapi banyak kes membabitkan rasuah dan keganasan.

Walaupun beliau dibenarkan ikat jamin, terdapat kemungkinan pihak berkuasa akan menangkapnya bagi lebih 100 kes lain.

Khan memberitahu mahkamah bahawa beliau mempertaruhkan nyawanya setiap kali melangkah keluar dari rumahnya.

“Saya percaya ada ancaman terhadap nyawa saya,” katanya lapor media tempatan.

Kali ini penyokong Khan tidak keluar mengadakan protes ekoran tindakan keras pihak berkuasa terhadap mereka kerana rusuhan maut dan vandalisme di kem tentera berikutan penahanannya pada 9 Mei.

Bekas menteri hak asasi manusia Shireen Mazari turut dibenarkan ikat jamin atas tiga pertuduhan berbeza, ditahan semula sebaik keluar dari penjara selain sebilangan ahli politik lain yang mengalami nasib yang sama.

Tentera telah memulakan perbicaraan terhadap penyokong Khan yang terlibat dalam serangan ke atas kemudahan tentera.

— BERNAMA