Malam 21 Disember 2025 ‘Milik’ Nidji, Bunkface

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DALAM denyut nadi dunia muzik serantau, ada waktu tertentu Tuhan menghimpunkan dua tenaga besar dalam sebuah gelanggang.

Tahun ini, gelanggang tersebut diberi nama Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface, pentas yang dijangka mencetus gegaran manis sebelum tirai 2025 dilabuhkan.

Terus memberikan hiburan tanpa had, Shiraz Projects mengesahkan Nusa Fest kembali mewarnai Kuala Lumpur dengan nadi lebih segar.

Penganjuran baharu tersebut hadir penuh keberanian, semangat mahu menyatukan dua negara serumpun melalui persembahan yang tidak hanya berpasakkan hiburan, tetapi pesta jiwa.

Berbanding edisi 2023 yang dibarisi puluhan artis, penganjur memilih langkah lebih berani dengan menyerahkan seluruh malam kepada dua kugiran handalan iaitu Nidji dan Bunkface.

Indonesia diwakili Nidji dengan semangat ‘Cinta dan Sumpah Matiku’, sementara Bunkface sebagai wakil Malaysia bakal memastikan 21 Disember 2025 menjadi ‘Malam Ini Kita Punya’ di Megastar Arena Kuala Lumpur.

Hanya dua kugiran, namun cukup untuk mencipta memori yang tidak akan pudar sebelum 2026 menyapa.

Ujar Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, pihaknya percaya magis dua nama itu sudah cukup untuk menghidupkan malam epik yang sarat energi dan emosi.

“Kenapa Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface? Kenapa tidak? Walaupun telah berkali-kali membuat persembahan di Malaysia, peminat Nidji tidak pernah melewatkan atau menolak kehadiran mereka.

“Energi dibawa Nidji sentiasa besar hingga penganjur seperti Shiraz Projects teruja melamar mereka untuk kolaborasi bersama Bunkface.

“Dan selaku pemain industri, siapa yang boleh menidakkan kredibiliti Bunkface. Dengan karya berkualiti serta persembahan energetik, mereka telah membuktikan reputasi dalam pelbagai penganjuran sebelum ini,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya lagi, gabungan dua negara di bawah satu bumbung bukan hanya semata-mata berlandaskan program muzik sebaliknya berhibur di bawah kata kunci serumpun.

“Jadi Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface akan menampilkan bukan sekadar persembahan tetapi momen epik yang tidak boleh diabaikan.

“Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface juga akan melakar sejarah, menjadi saksi dua kugiran dengan kelompok peminat silang budaya boleh menghormati serta menikmati muzik dalam suasana harmoni,” jelasnya.

Vokalis Bunkface, Sam pula menyifatkan projek tersebut sebagai bukti hubungan muzik Malaysia dan Indonesia terus berdenyut meriah dan matang.

“Setelah mempertimbangkan dan memahami bahawa Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface bukan semata-mata persembahan biasa, Bunkface bersetuju untuk terlibat dalam projek ini.

“Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface tidak hanya tapak konsert mahupun naik pentas buat persembahan tetapi akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami,” kongsinya.

Vokalis Nidji, Yusuf Ubay pula menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Bunkface sebagai satu kehormatan besar, tambahan kali ini mereka benar-benar berdiri hanya berdua bawah lampu sorot yang sama.

Yusuf turut menzahirkan rasa syukur apabila diberi ruang mencipta sejarah dalam festival yang dibina atas semangat persahabatan serumpun.

“Kami akan berbagi pentas dengan saudara kami, Bunkface. Akhirnya kami kembali dan rasanya bukan macam datang negara lain tetapi macam balik rumah sendiri.

“Nusa Fest kini bukan lagi konsert, tetapi sebuah perayaan persahabatan, cinta dan kesatuan. Seperti selalu kami katakan, muzik menyatukan manusia.

“Malaysia, ayuh kita tutup tahun ini bersama, lebih kuat berbanding sebelumnya,” tuturnya.

Dengan kedua-dua kugiran berkobar menantikan detik 21 Disember, peminat dianggap melakukan ‘dosa besar’ andai terlepas untuk memiliki tiket Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface.

Tiket ditawarkan untuk konsert ini adalah  mengikut kategori Rockzone (Standing) RM228, Gold (Standing) RM148, Diamond (Seated) RM198 dan Platinum (Seated) RM168 yang boleh diperoleh menerusi Ticket2U.

TIDAK seperti tahun sebelumnya, Shirazdeen percaya, biarpun hanya dua kugiran, aura Nidji dan Bunkface sudah besar untuk dinikmati pengikut Nusa Fest Present.

Sumber: Kosmo