Malaysia Tak Import Ikan Laut Hidup Dari Jepun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengimport ikan laut hidup dari Jepun, manakala bagi produk ikan bukan hidup lain dari negara itu tahap keselamatan makanan berkenaan sentiasa dipantau pihak berkuasa.

Perkara itu dimaklumkan Penasihat Khas kepada Menteri Kesihatan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, susulan kebimbangan dibangkitkan pelbagai pihak berhubung tindakan Jepun melepaskan air radioaktif dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik bermula semalam.

Beliau berkata, pihaknya memahami kebimbangan dibangkitkan orang ramai berhubung perkara itu, namun Kementerian Kesihatan (KKM) komited sentiasa memantau pintu masuk negara serta pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin.

“Jabatan Perikanan mengesahkan tiada import ikan laut hidup dari Jepun buat masa ini.

“Bagi produk perikanan bukan hidup lain, KKM bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pihak berkuasa lain seperti Jabatan Perkhidmatan Pemeriksaan Kuarantin Malaysia (MAQIS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memantau tahap isu keselamatan makanan termasuk pemeriksaan pensijilan kesihatan dan radiasi selepas import,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Semalam, Jepun mula melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, walaupun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.

Bagaimanapun, Jepun kekal dengan pendirian menyifatkan tindakan melepaskan air itu adalah selamat, selain Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu turut menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.

Mengulas lanjut, Dr Kelvin yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, berkata isu keselamatan makanan tidak akan sesekali dikompromi dan melalui KKM, import makanan ‘berisiko tinggi’ dari Jepun akan tertakluk kepada pemeriksaan Tahap 4 (pemantauan) bagi menyaring unsur radioaktif ketika negara itu mula melepaskan air dari loji nuklear berkenaan.

“Ia dilakukan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan jika berlakunya risiko, termasuk memantau import makanan Jepun dari Mei 2011 hingga April 2012, susulan gempa bumi yang membawa kepada kemusnahan tiga kali ganda kepada loji berkenaan.

“Sampel dikumpulkan dan dianalisis untuk memastikan semuanya berada dalam had kawal selia di bawah Peraturan 37 Peraturan Makanan 1985, dengan panduan daripada Piawaian Umum untuk Bahan Pencemar dan Toksin dalam Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO),” katanya.

– BERITA HARIAN