Mangsa banjir di Kelantan semakin berkurang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan turun sedikit kepada 24,297 orang sehingga jam 9 pagi ini berbanding 24,723 orang malam tadi.

Semua mangsa ditempatkan di 74 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah, iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli.

Mengikut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, jumlah mangsa banjir paling ramai adalah di Pasir Mas dengan 13,395 orang daripada 4,460 keluarga di 28 PPS.

Di Tumpat membabitkan 4,552 orang daripada 1,432 keluarga di 14 PPS, Pasir Puteh dengan 4,214 orang daripada 1,121 keluarga di 13 PPS dan Bachok yang melibatkan 1,119 orang daripada 303 keluarga di tujuh PPS.

Mangsa banjir di Kuala Krai membabitkan 679 orang daripada 205 keluarga di lima PPS, Tanah Merah dengan 154 orang daripada 42 keluarga di tiga PPS, Kota Bharu dengan 144 orang daripada 40 keluarga di dua PPS.

Di Machang, seramai 53 penduduk daripada 14 keluarga dipindahkan ke satu PPS, manakala di Jeli melibatkan 17 orang daripada enam keluarga di satu PPS.

Sumber: BERITA HARIAN