Manis Malam: Tuah ‘Abe Sal’ Anak Kelahiran Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bermula dengan video adik-beradik tular meniru gaya para olimpik di belakang rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pencipta kandungan digital, Faisal Suhaimi kini tercalon dalam Top 5 Gempak Most Wanted Award, kategori Digital Content Creator (Hiburan) Tergempak 2023.

Ketika ditanya berkenaan video pertama yang mendapat perhatian ramai sekaligus menempatkannya dalam industri hiburan, dia bersama adik-beradiknya dimarahi oleh ibunya kerana pulang dalam keadaan kotor. Namunpun begitu, penerimaan ibu dan ayahnya semakin lama semakin baik dek kerana keuntungan diperoleh, selain mendapat tempat di hati peminat.

Bergerak bebas dengan kariernya, Faisal Suhaimi atau lebih mesra disapa Abe Sal menghabiskan sehari-hari mencipta konten bersama dengan adik-adiknya yang sangat ‘sporting’. “Adik-adik saya ikuti sahaja apa yang saya suruh, sebab mereka nampak hasil dan dapat duit juga”, katanya yang merupakan anak kelima daripada 10 beradik itu.

Perwatakannya yang ceria dan peramah juga membuatkannya senang dan mudah mendapat kawan. Lebih mengejutkan, dia berkawan dengan pemuda-pemuda Korea yang dikenali menerusi siaran langsung di TikTok. Menurutnya, dia juga pernah membawa mereka datang berkunjung ke Malaysia dan baru-baru ini, kedatangannya pula disambut di Korea. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Abe Sal tidak kekok menyesuaikan diri di tempat orang kerana berkebolehan juga bercakap menggunakan bahasa asing, iaitu Korea.

“Saya boleh cakap korea sebab dulu suka tengok K-Drama. Saya belajar dari situ”, jelas anak kelahiran Gua Musang, Kelantan ketika ditanya berkenaan caranya berkebolehan berbahasa Korea.

Selain itu, dia turut menzahirkan rasa syukur kerana video-videonya dapat menghiburkan hati, mencuit kenangan dan mengubati hati-hati yang sunyi. Ulasnya, “ada antara komen yang saya dapat, video saya sedikit sebanyak berjaya merawat mereka yang stres, murung, dan rasa sunyi.”

Ketika diaju soalan berkenaan kritikan ‘haters’, katanya dia kadang-kadang melayan juga komen sebegitu untuk dijadikan konten dan tidak mudah melatah sebaliknya menghiraukan saja komen berbaur caci dan benci.

Di akhir temuramah bersama Kelly di Manis Malam, dia mengucapkan terimakasih pada pihak-pihak yang menyokong kerjaya dan konten-kontennya. Pesannya pada peminat di luar sana, “Jangan lupa undi saya dalam Top 5 Gempak Most Wanted Award”.