MARA Beri Manfaat RM15 Juta Untuk Program PUMP

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Sebanyak RM15 juta telah diperuntuk oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membangunkan program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-Petronas (PUMP) selama dua tahun, bermula 2022 hingga tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan PUMP adalah program khas berstruktur merangkumi latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat dan pemantauan berkala daripada MARA dan Petronas. Menerusi peruntukan sebanyak RM15 juta, ia mampu memanfaatkan 35 usahawan yang membabitkan 46 cawangan pusat servis kenderaan di bawah jenama PUMP di seluruh negara.

Bagi Terengganu pula, katanya, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi membantu tujuh usahawan automotif yang membuka pusat servis kenderaan.

Menurutnya, RS Auto Technology Sdn Bhd adalah antara usahawan pantai timur yang menerima kemudahan pembiayaan daripada MARA Terengganu sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja ubah suai bengkel yang lebih kompetitif dan berdaya saing serta lebih sistematik.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, MARA menerima peruntukan sebanyak RM390 juta bagi melaksanakan pelbagai program pada tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM185 juta dibelanjakan bagi pembiayaan perniagaan dan RM25 juta diperuntukkan untuk program latihan keusahawanan dan program khas yang memberi manfaat kepada 6,650 usahawan seluruh negara.

-BERNAMA