
Tumpat: Seorang bapa terpaksa meredah banjir sejauh tiga kilometer (km) dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sambil membawa jenazah bayi yang baru dilahirkan ke rumahnya sebelum dikebumikan.
Mohd Hamzuri Mokhtar, 40, berkata dia terpaksa meminta bantuan rakannya untuk menaiki pacuan empat roda memandangkan laluan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kacang Sebidang di sini dinaiki air.
Katanya, bayinya meninggal dunia dalam kandungan pada Rabu lalu sebelum isterinya, Haslida Mohamad, 41, terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) dan bayi dikeluarkan Subuh tadi selepas cubaan untuk bersalin secara normal gagal.
“Selepas itu, saya membawa pulang jenazah anak perempuannya terlebih dahulu untuk dikebumikan dan memandangkan laluan untuk ke rumah banjir, saya terpaksa meminta bantuan rakannya yang mempunyai pacuan empat roda untuk membawa kami dari Kampung Teluk Jering ke Kampung Kacang Sebidang.
“Alhamdulillah rumah saya tidak banjir dan kawasan Tanah Perkuburan Kacang Sebidang juga berada di kawasan tinggi dan memudahkan urusan pengebumian anak hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, walaupun sedih dengan kehilangan anak perempuannya itu yang sepatutnya lahir 3 Disember ini, namun mereka sekeluarga reda dengan takdir Allah.
“Anak pertama saya juga meninggal dunia dalam kandungan dan kini situasi sama berlaku kepada anak kelima.
“Saya kini mempunyai tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan. Isteri kini masih menerima rawatan di HRPZ II.
“Alhamdulillah banjir bagi gelombang pertama ini tidak seteruk seperti tahun lepas. Jika banjir teruk mungkin saya berdepan masalah untuk mengebumikan jenazah anak,” katanya.
SUMBER: Harian Metro





