Mintah Wira TFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, sebentar tadi.

Dua jaringan penyerang, Jordan Mintah memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner naik satu anak tangga di kedudukan kelima liga dengan mengutip 13 mata hasil lapan perlawanan manakala skuad KCFC kendalian Irfan Bakti Abu Salim kekal di tangga ke-12 dengan empat mata.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu terlebih dahulu mencemaskan kubu pelawat menerusi sepakan percuma Ivan Mamut pada minit ke-13 yang ditepis keluar penjaga gol import lawan, Julian Schwarzer.

Pada minit ke-18, TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Azam Azmi Murad dikasari Aylton Ferreira, bagaimanapun sepakan yang diambil kapten, Habib Haroon terkena tiang di sebelah kanan gol.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Mintah yang tidak dikawal berjaya melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti hasil hantaran lintang Adisak Kraisorn pada minit ke-22 untuk jaringan pertama TFC.

Bersambung babak kedua, Irfan Bakti memasukkan dua penyerang termasuk pemain kebangsaan Liberia, Abu Kamara dan Wan Mohd Faiz Wan Sulaiman bagi memperkuatkan lagi jentera serangan, namun masih belum mampu memecah kebuntuan gol.

Sebaliknya hasil serangan balas, penyerang kelahiran Ghana, Mintah yang mendapat umpanan daripada Habib menghadiahkan gol kedua pasukan dan peribadi pada minit ke-52 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0 dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

– BERITA HARIAN