Mintah yakin benam Kelantan FC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah melaungkan keyakinan untuk merobek kubu Kelantan FC apabila kedua-dua pasukan itu bakal bertembung pada aksi suku akhir saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang esok.

Pemenang Kasut Emas Liga Perdana musim 2021 dengan 16 gol ketika menyarung jersi pasukan ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II) itu akui dia kini berada pada tahap prestasi terbaik untuk membantu pasukannya melakar kemenangan.

Tambah pemain berusia 28 tahun itu yang sudah empat musim beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), dia bagaikan tidak sabar untuk membuktikan kemampuannya berdepan skuad The Red Warriors itu.

Bagaimanapun Mintah tidak mahu dilabel pemain yang pentingkan diri sendiri, sebaliknya dia sedia membuka ruang kepada rakan sepasukannya untuk menjaringkan gol jika berpeluang walaupun tugas meledak gol terletak di bahu penyerang.

“Setiap pasukan ada kekuatannya yang tersendiri, begitu juga Kelantan FC biarpun skuad itu dilihat bergelut untuk mendaki kedudukan lebih baik dalam saingan liga selepas baharu sekali merakam kemenangan.

“Sebagai penggempur, jika diturunkan sudah pasti saya berazam untuk buru gol, lagipun saya sentiasa bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk berdepan dengan pasukan jiran itu.

“Pasukan kami juga sudah bersedia dan bekerja keras untuk berdepan dengan skuad itu, perjuangan kami tidak akan berhenti selagi misi ke pentas final Piala FA tidak tercapai.

“Saya harap rakan sepasukan dapat fokus hingga minit terakhir perlawanan bagi memastikan kita dapat mengatasi lawan untuk mengintai peluang ke separuh akhir sekali gus mengulangi pencapaian sebagaimana pada musim lalu,” katanya yang mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia untuk membanjiri stadium walaupun beraksi pada sebelah petang.

Berdasarkan rekod setakat ini, penyerang kelahiran Ghana itu sudah menyumbang dua gol dalam aksi Piala FA dan empat gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Sumber: METRO