Monsun Timur Laut Dijangka Bermula 11 Nov Hingga Mac 2024

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada 11 Nov ini dan berterusan sehingga Mac 2024.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan meramalkan, dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat bakal berlaku.

Di bawah fasa awal MTL mulai Nov 2023 hingga Jan 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” jelasnya.

Selain itu, MetMalaysia berkata, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Sementara itu, di bawah fasa akhir MTL, iaitu Februari hingga Mac 2024, utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak dijangka mengalami kurang hujan.

Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlaku gelombang haba.

Situasi ini berikutan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024.

Justeru, orang ramai dinasihat agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia.

– AWANI