Mutang Tagal Dilantik Yang Di-Pertua Dewan Negara Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu pada Isnin.

Beliau menggantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menggalas jawatan tersebut sejak 19 Jun tahun lalu sebelum berakhir pada Januari tahun ini.

Pelantikan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dilantik.

“Saya ingin mengemukakan cadangan iaitu Senator Datuk Mutang Tagal dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. Beliau merupakan anak jati Sarawak, berasal dalam kalangan etnik Lun Bawang.

“Ini adalah satu lagi pelantikan bersejarah dan komitmen berterusan Kerajaan Madni dalam mengiktiraf dan memastikan suara, pandangan dan perwakilan dari semua kalangan rakyat termasuk Orang Ulu di Parlimen.

“Beliau adalah pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal sebelum ini.

“Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas. Mengikut Peraturan Mesyuarat 2 (1), saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih,” katanya.

Mutang sebelum itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Februari 2024 sehingga 14 Februari 2027.

Lantikan beliau adalah merupakan lantikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Mutang kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ahli Majlis sebelum menyampaikan ucapan sulungnya dalam Dewan Negara.

Dalam ucapannya, beliau merafak sembah terhadap Yang di-Pertuan Agong dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Premier Sarawak yang mencadangkan nama beliau kepada Anwar.

“Saya kira masih belum terlewat juga untuk saya merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-19, Tuan Yang Terutama Tun Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di atas lantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Ribuan terima kasih di atas sumbangan beliau dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen Malaysia semasa lantikannya.

“Adalah menjadi satu penghormatan kepada saya untuk meneruskan legasi yang telah beliau gerakkan ini,” katanya.

Mutang merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak yang telah berkhidmat pada tahun 1982 hingga 1990.

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dan amalan dalam bidang perundangan.

Selain politik dan undang-undang, beliau juga banyak terlibat dalam perniagaan dengan menyertai pelbagai persatuan selepas tidak lagi menjadi Ahli Parlimen.

– AWANI