
KUANTAN: Polis menahan sepasang kekasih di sebuah rumah tamu di sini, selepas disyaki terbabit mengedar dadah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata pasangan berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan pada jam 1.10 pagi.
Katanya, pemeriksaan di rumah tamu itu menemukan enam paket lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 34.82 gram.
“Turut ditemui, satu beg kecil berzip mengandungi 53 pil yaba seberat 6.58 gram dan dua paket lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 6.86 gram yang keseluruhannya bernilai RM3,174.
“Suspek lelaki dan wanita itu masing-masing mempunyai lapan rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah.
“Ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif morfin manakala suspek perempuan positif amphetamine/ methamphetamine.
“Mereka direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sumber : BERITA HARIAN





