Pegawai JPJ Cedera Dirempuh Kereta Ketika Sekatan Jalan Raya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengalami kecederaan akibat dirempuh pemandu sebuah kereta Perodua Kancil ketika sekatan jalan raya (SJR) Ops Pengarah JPJ Kelantan di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur, di sini, jam 9 malam tadi.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata anggota terbabit adalah Pegawai Pemeriksa Kereta Motor AB29, Mohamed Azrin Abdul Wahab, 43, yang cedera di bahagian tangan dan kaki, kemudian dihantar untuk mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.

Katanya, suspek lelaki yang memandu Perodua Kancil berwarna perak itu sudah dapat dikesan dan dipercayai warga asing namun siasatan lanjut akan diadakan.

“Ketika kejadian, anggota terbabit mengambil tindakan pantas melompat ke atas bonet hadapan bagi mengelak daripada terus dirempuh dan kemudian jatuh di bahagian tepi kereta sebelum suspek terus memecut laju untuk melarikan diri.

“Laporan polis dibuat bagi membantu menahan menahan suspek manakala kenderaan terbabit akan disita. Pihak kami juga mengesyaki ia adalah kereta curi atau suspek berkemungkinan membawa barangan terlarang,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops Pengarah JPJ Kelantan di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur.

Mohd Misuari berkata, sepanjang operasi berkenaan seramai 19 individu ditahan untuk menjalani saringan ujian air kencing tetapi keputusan menunjukkan kesemuanya negatif.

“Sementara itu sembilan kenderaan diperiksa oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan salah satu daripadanya diberikan notis untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), ” katanya.

Operasi itu bagi mengesan kenderaan persendirian dan perdagangan yang tidak mematuhi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

– BERITA HARIAN