
PETALING JAYA – Reman remaja lelaki berusia 14 tahun yang menikam pelajar perempuan hingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini dilanjut tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek disambung reman sehingga 28 Oktober depan.
“Proses merekod keterangan saksi-saksi juga telah selesai.
“Polis akan rujuk kertas siasatan kes ini kepada timbalan pendakwa raya pada petang ini (Selasa),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pada 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam di kawasan tandas perempuan sekolah terbabit.
Mangsa cedera ditikam di beberapa bahagian badan dengan tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam.
Berikutan itu polis telah merampas dua unit senjata tajam disyaki digunakan dalam kejadian terbabit.
Suspek yang juga pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, tikaman pada dada dan leher dikenal pasti menjadi punca kematian berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sumber : SINAR HARIAN





