Pelajar Sekolah Hilang Ditarik Laut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Empat sekawan nyaris lemas manakala seorang rakan mereka hilang selepas dipukul ombak dan dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Cempaka, di sini, jam 4 petang tadi.

Mangsa yang hilang dikenali Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15, dari Taman Kempadang Perdana dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian jam 4.30 petang melalui panggilan kecemasan 999.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bergegas ke lokasi bagi membuat pengesahan maklumat dan tinjauan awal.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut diarahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal kejadian mendapati mangsa bersama empat rakan sebaya ke pantai untuk mandi jam 3.30 petang.

“Ketika sedang mandi, kumpulan remaja itu dipukul ombak besar dan dihanyut arus deras ke kawasan agak dalam namun empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.

“Bagaimanapun mangsa didapati hilang dan rakannya meminta bantuan penduduk kampung namun mangsa gagal ditemui lalu menghubungi panggilan kecemasan 999,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, ketika kejadian, keadaan laut bergelora dengan ombak besar dan angin kencang selain air laut sedang pasang besar.

“Bendera merah juga ada dinaikkan sepanjang pantai menandakan larangan untuk sebarang aktiviti pantai namun tiada menara atau petugas pengawal pantai di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan serta-merta manakala pencarian ditumpukan kepada rondaan di sepanjang pesisir pantai hingga ke Pantai Sepat membabitkan empat pegawai dan 24 anggota daripada lima agensi berkenaan.

“Penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir malah operasi mencari diteruskan sehingga ke malam ini dengan membuat rondaan di pesisir pantai,” katanya.

Sumber: METRO HARIAN