Pemandu Rempuh Tiga Penunggang Motosikal Dibebas Dengan Jaminan – Polis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta yang disiasat merempuh enam penunggang motosikal ketika berteduh daripada hujan di bawah jejambat di KM19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dekat Petaling Jaya semalam, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 26 tahun itu mengalami patah bahu akibat kemalangan berkenaan dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Beliau berkata polis telah selesai merekodkan keterangannya pada semalam berhubung kejadian itu.

“Keputusan saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif penggunaan dadah namun ujian alkohol mendapati tahap alkohol dalam badannya melebihi paras dibenarkan.

“Selain itu, polis juga selesai mengambil keterangan pihak lain yang terlibat dalam kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, tiga penunggang motosikal dilaporkan maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan ketika mereka sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat di KM19.6 Lebuhraya NKVE arah selatan dekat Petaling Jaya.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 5.59 pagi dengan tiga penunggang motosikal itu maut di lokasi kejadian manakala tiga penunggang yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh.

— BERNAMA