Penduduk Gesa Atasi Isu Perparitan, Jalan Raya Rosak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kelantan antara negeri terjejas teruk akibat banjir sehingga menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan lebat berterusan bermula 18 Disember lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda seperti rumah, kenderaan dan perabot.

Susulan musibah itu, 140 PPS dibuka membabitkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, Jeli dan Tumpat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut memaklumkan jumlah mangsa banjir tertinggi direkodkan di negeri itu adalah pada 21 Disember iaitu seramai 32,089 orang daripada 9,542 keluarga.

Walaupun badai yang melanda itu tidaklah seteruk ‘bah kuning’ pada 2014, tetapi ia turut memberi kesan terutama di kawasan-kawasan yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini.

Rata-rata penduduk yang ditemui Bernama tidak menyangka hujan lebat yang berterusan mengakibatkan paras air naik dengan cepat di rumah mereka sehingga tidak sempat untuk menyelamatkan barangan keperluan yang lain.

Nik Noraini Ainun Nik Mahmud, 29, dari Kampung Jelor, Pasir Puteh berkata air mula memasuki kawasan rumahnya kira-kira jam 7.45 pagi (19 Disember) berikutan hujan lebat yang berterusan.

“Melihat keadaan air semakin naik, saya sekeluarga segera keluar dari rumah kerana paras air ketika itu sudah melebihi paras paha dan situasi ketika itu sangat cemas sebab kejadian banjir yang berlaku itu kali pertama melanda rumah saya,” katanya yang terpaksa berpindah ke PPS tanpa sempat membawa sebarang pakaian.

Malah, ada penduduk yang ditemui mendakwa sistem peparitan dan saliran tidak terancang dan diurus dengan baik dipercayai antara punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan penempatan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini sehingga menimbulkan rasa panik dan kelam-kabut dalam kalangan penduduk.

Siti Rozilawati Shaari, 31, dari Pengkalan Chepa berkata isu peparitan dan saliran di Kelantan perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama kerajaan negeri supaya kejadian banjir kilat tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Kita sedia maklum apabila musim tengkujuh, Kelantan antara negeri yang akan dilanda banjir tetapi ia dapat dielakkan jadi lebih teruk jika sistem perparitan dan saliran diurus dengan baik terutama di kawasan yang padat penduduk,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan ‘hotspot’ di negeri itu dan sudah meluluskan peruntukan untuk menyediakan parit, saliran dan longkang di beberapa kawasan tertentu yang dijangka bermula tahun depan.

Selain itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini dilaporkan berkata sebanyak 40 projek berkaitan rancangan tebatan banjir (RTB) serta saliran mesra alam sedang dan akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kelantan dan Terengganu.

Bagi Nor Atikah Aziz, 28, dari Kuala Krai pula selain isu peparitan dan saliran, kerajaan negeri juga perlu memberi fokus segera untuk baik pulih jalan-jalan negeri yang rosak teruk akibat bencana banjir.

“Saya harap kerajaan negeri dapat selesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat dengan kadar segera dalam memastikan kebajikan kami terus terjaga dan terbela,” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika mengadakan tinjauan banjir di Kelantan berkata sebanyak 94 lokasi berlaku bencana di seluruh negara telah dikenal pasti membabitkan 52 jalan negeri dan 42 jalan Persekutuan di lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Perak.

Daripada jumlah itu, 61 lokasi membabitkan banjir manakala cerun runtuh (19 lokasi), jalan runtuh (lima lokasi), jalan mendap (enam lokasi) dan jambatan rosak atau runtuh (tiga lokasi).- BERNAMA

Sumber: BERITA HARIAN