Penduduk Tertekan Gara-Gara Tutup Jalan Di Gua Musang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Rutin harian lebih 5,000 penduduk di beberapa penempatan berhampiran kawasan Projek Lingkaran TengahUtama (LTU), dekat sini berubah sepenuhnya sejak seminggu lalu susulan penutupan jalan bagi memberi laluan pemasangan cerucuk jambatan.

Tinjauan daripada Utusan Malaysia mendapati, penduduk ‘tertekan’ dengan situasi itu kerana terpaksa menempuh kesesakan jalan raya terutama menghantar anak ke sekolah dan ke tempat kerja pada waktu pagi.

Seorang penduduk Taman Wangi, Siti Maisarah Ahmad, 36, berkata, rutin hariannya berubah selepas penutupan jalan berkenaan kerana terpaksa bersiap awal pagi untuk menghantar anak ke sekolah.

“Sejak minggu lalu kami terpaksa keluar rumah lebih awal, namun tetap tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan anak-anak tiba lambat ke sekolah.

“Penutupan laluan berkenaan mengubah jadual harian kami apabila ada ibu bapa yang keluar seawal pukul 6.30 pagi untuk menghantar anak ke sekolah kerana bimbang tersekat dalam kesesakan,” katanya semalam.

Siti Maisarah berkata, sebelum ini dia hanya memerlukan masa 10 hingga 20 minit untuk menghantar anaknya ke sekolah, namun kini terpaksa menempuh perjalanan 40 minit hingga 50 minit kerana tersangkut dalam kesesakan.

Katanya, jalan alternatif yang dicadangkan pihak JKR mempunyai banyak cabang atau persimpangan sehingga mengundang kesesakan.

Seorang bapa, Muhammad Anuar Osman, 48, pula berkata, pihak berkuasa perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan pertambahan kenderaan yang melalui jalan alternatif.

“Laluan berkenaan kini bukan sahaja menjadi tumpuan kenderaan penduduk Gua Musang tetapi kenderaan luar. Kami dapat jangkakan pertambahan kenderaan bakal berlaku minggu depan apabila perantau mula pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Semalam kami terkejut selepas berlaku kejadian kemalangan yang melibatkan 15 murid cedera bertembung dengan lori balak yang mengelak sebuah kereta dari simpang secara membabi buta ketika melalui jalan alternatif berkenaan. Saya bimbang kecuaian boleh menyebabkan nyawa orang lain melayang,” ujarnya.

Terdahulu, laluan di FT2747 Kilometer (KM) 3.9 (Simpang Hospital) sehingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) dan FT2745 KM0.8 (Bawah Flyover Taman Damar) ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah. Penutupan itu bermula 3 Aprul hingga 29 April dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.

Sumber: UTUSAN