
Jitra: “Sepatutnya saya sudah bergelar isteri untuk perkahwinan kali kedua ini tetapi apakan daya jodoh tak sampai apabila pengantin lelaki tak hadir ketika majlis akad nikah, Jumaat lalu,” kata Nor Syafiqah Mohd Sharif, 28.
Nor Syafiqah berkata, dia mengenali bakal suaminya yang masih bujang dan berusia 36 tahun itu sejak lapan bulan lalu malah lelaki itu juga adalah pekerja di kedai makan miliknya.
Katanya, sepanjang hubungan mereka, lelaki itu tidak menunjukkan sebarang masalah tetapi memaklumkan bapanya tidak merestui hubungan mereka.
“Kami tetap meneruskan perkahwinan ini walaupun dihalang bapanya yang tidak sukakan saya. Bakal suami beritahu yang dia sayangkan saya.
“Dia juga tekad teruskan malah ikut saya mencuba baju di butik pengantin. Sehari sebelum majlis akad nikah, lelaki itu datang ke rumah dan dia kata hendak teruskan majlis nikah kami.
“Namun pada pagi Jumaat, saya hantar kiriman WhatsApp, dia tidak membalasnya dan hanya tinggalkan tanda biru (blue tick) sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Luar, Mukim Pelubang, di sini hari ini.
Menurut Nor Syafiqah, Imam Qariah Lubuk Batu juga hadir untuk menikahkan mereka namun pengantin tidak muncul.
Katanya, lebih 1,000 tetamu hadir pada majlis hari itu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan tetapi kecewa apabila dimaklumkan pernikahan dia dan pasangannya tidak berlangsung seperti yang dijadualkan.
“Bayangkan saya sudah memasang khemah kenduri dan pelamin termasuk memakai pakaian pengantin serta menyediakan katering makanan serta cenderahati untuk tetamu tetapi sehingga petang pengantin tidak muncul.
“Saya dimaklumkan pengantin lelaki tidak datang kerana bimbang bapanya marah dan tidak mahu majlis itu diteruskan tetapi saya tak tahu apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.
Menurutnya lagi, dia menyembunyikan diri dalam bilik kerana malu untuk bertemu tetamu di luar sehinggalah dia menyalin pakaian pada sebelah petang.
Katanya, sepanjang hubungan mereka, bakal suaminya itu seorang yang baik dan sayang padanya.
“Kad jemputan majlis kahwin yang sepatutnya berlangsung 13 Disember ini sudah diedar malah pelamin, pakaian pengantin serta barangan perkahwinan semuanya terpaksa dibatalkan.
“Saya mengalami kerugian hampir RM12,000 menggunakan simpanan. Saya tiada ibu dan ayah. Hanya mengharapkan kasih pada kakak dan abang kerana saya anak bongsu daripada lima beradik,” katanya.
Nor Syafiqah berkata dia berpisah dengan suami pertamanya lapan bulan lalu dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia lima tahun.
Katanya, hubungannya dengan bekas suami juga baik dan dia tidak menyangka perkara itu akan berlaku pada dirinya.
“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pagi tadi kerana rasa tertipu dengan apa yang berlaku.
“Selain itu saya juga sudah berjumpa dengan peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber : HARIAN METRO





