Penggiat Seni Peroleh Peruntukan 4,500 Carum PERKESO

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Menyedari senario yang dialami peggiat seni, antaranya ada yang menghadapi ketidakstabilan pendapatan, tiada manfaat sosial seperti pelan persaraan dan faedah kesihatan, kurang jaminan kerja yang stabil, kebajikan serta kesejahteraan mereka sering terabai, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyediakan sokongan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni tanah air, semalam.

Perjanjian dimeterai adalah inisiatif kerajaan membabitkan faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan jenazah, pemulihan dan pinjaman pendidikan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pemeteraian MoU berkenaan melambangkan komitmen kerajaan untuk terus membela dan meningkatkan taraf kehidupan penggiat seni tanah air.

Sebagai permulaan, Kementerian Komunikasi menerusi FINAS bersetuju menaja seramai 4,500 penggiat seni dengan caruman RM23.30 setahun bagi seorang dengan jumlah keseluruhan bernilai RM104,850.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya akan mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan ‘standard contract’ yang akan dijadikan dokumen rujukan dan panduan untuk menangani isu kebajikan pekerja seni.

Ujarnya, pihaknya bukan sahaja membantu untuk mencarum, tetapi turut menggalakkan setiap pekerja seni mendapatkan perlindungan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS),PERKESO.

-BeritaHarian