
KOTA BHARU: Dua penguat kuasa dan lima individu lain yang ditahan Khamis lalu dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak masak dibebaskan dengan jaminan polis, pagi ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, kesemuanya dibebaskan selepas tamat tempoh tahanan reman.
“Setakat ini hanya seorang iaitu dalang sindiket yang digelar ‘Datuk John’ berusia 28 tahun disambung reman selama tiga hari bermula hari ini.
“Suspek utama ini dijangka dituduh Rabu ini atas enam pertuduhan, manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini,” katanya ditemui.
Jelasnya, sindiket itu menyeludup bekalan minyak masak menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok selain turut menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Untuk kuantiti yang banyak, sindiket menggunakan Sungai Golok. Manakala bagi kuantiti kecil, mereka gunakan kenderaan mewah melalui ICQS dengan kenderaan berkenaan dipandu penguat kuasa berkenaan bagi memudahkan perjalanan.
“Datuk John dipercayai mengambil bekalan minyak masak itu dari Negeri Sembilan dan Selangor sebelum dibawa masuk ke negara jiran.
“Mereka mempunyai permit sebagai pembekal di Negeri Sembilan dengan menggunakan nama individu lain dan bekalan minyak yang diperoleh itu diseludup ke Thailand bagi meraih keuntungan berganda,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, lapan individu termasuk dua penguat kuasa ditahan dalam tiga operasi berasingan di Kota Bharu dan Pasir Puteh kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi, Khamis lalu.
Pada serbuan 7 malam itu, KPDN turut merampas lebih 11 tan minyak masak bersubsidi bernilai lebih RM27,600, menahan lapan anggota sindiket selain merampas dua lori, sebuah pacuan empat roda dan sebuah Toyota Vellfire.
Sumber : HARIAN METRO





