Penjawat Awam Didakwa Terima Suapan RM300

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seorang Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Lipis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM300, awal tahun ini.

Ahmad Akmi Mohamad, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh yang beralamat di Kampung Bukit Kelulut, Temerloh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM300 daripada seorang individu, yang diketahui pemberian itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di sebuah kedai makan di Tempoyang, Kuala Lipis, Lipis pada 4 petang, 5 Januari lalu dan sebuah bank cawangan Mentakab, Temerloh pada 1 tengah hari, 7 Januari lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun Ahmad Akmi yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana berpendapatan RM2,000 sebulan serta mempunyai tiga tanggungan.

Ahmad Zamzani kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, serta menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: HARIAN METRO