Penyeludup Lari Tinggalkan Kereta Seludup Petrol

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Seorang penyeludup bertindak memandu kenderaan secara melulu dan merbahaya ketika cuba meloloskan diri apabila dikejar pihak berkuasa di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Kelantan mengekori sebuah kereta Proton Iswara selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan dari arah Kampung Ana di sini.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, pemandu kereta terbabit terus memecut dan memandu secara berbahaya sejauh kira-kira tiga kilometer.

“Pasukan kami berjaya menghalang kenderaan itu dengan bantuan polis, namun pemandunya keluar dari kereta sebelum melarikan diri dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menjumpai dua tangki tambahan ubahsuai di bahagian tempat duduk pemandu belakang.

“Turut dirampas sebanyak 955 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM1,957.75,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu pihaknya juga merampas 850 diesel dalam kereta Proton Wira Aeroback yang ditinggalkan di tepi jalan dekat Pulau Ular, Pengkalan Kubor, di sini.

Azman berkata, rampasan diesel yang dibuat jam 8.30 pagi semalam itu dipercayai untuk dibawa ke pangkalan haram dengan tujuan penyelewengan barang kawalan ke Thailand.

– BERITA HARIAN