Puasa adalah salah satu rukun ibadah wajib bagi umat Islam. Semakin bertambah usia, kita mengharapkan agar ibadah kita semakin berkualiti dan memberi erti. Kini kita berada di Bulan Rejab yang hanya berbaki lebih kurang 38 hari berbaki menuju Ramadan.
Masuknya bulan Rejab bermakna kita sudah boleh melakukan persiapan fizikal, mental serta paling utama adalah persiapan spiritual. Ramadan adalah bulan untuk memulihkan kembali jiwa kita, mengembalikan letak duduk kita sebagai seorang hamba dan me’reset’ semula jadual hidup kita secara alami.
Jika kita menelusuri sirah para salafus soleh, kebiasannya para Ulama sudah melakukan persiapan seawal 6 bulan sebelum tibanya Ramadan.
Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah ﷻ selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah ﷻ menerima daripada mereka amalan mereka”. Walaubagaimanapun, tetap masih belum terlambat untuk kita mulakan persiapan dari sekarang.
Berikut antara persiapan yang boleh kita lakukan :-
- Ulangkaji mengenai amalan-amalan yang boleh dilakukan ketika berpuasa termasuklah hukum-hakam puasa, hukum hakam solat sunat tarawih dsb sebagai persediaan menghadapi Ramadan dengan lebih kualiti. Apabila kita mula mengulangkaji kembali, kita dapat bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi Ramadan.
- Bersedia merutinkan kembali jadual waktu untuk bangun pagi terutama bagi mereka yang agak sukar bangun sebelum waktu subuh. Bagi para wanita, mereka sudah boleh merancang seperti jadual perancangan memasak agar aktiviti di bulan puasa tersusun dan teratur.
- Berjaga-jaga akan kesihatan badan. Bersedia dengan ubat-ubatan misalnya bagi mereka yang berisiko sakit seperti sakit gastrik, dehidrasi dsb. Bagi para ibu-ibu yang bekerja, mengandung atau menyusu, boleh bersedia dengan makanan tambahan sebagai tambahan tenaga untuk memudahkan aktiviti berpuasa.
- Bagi kaum lelaki, pelihara diri dari merokok dan menghisap vape. Jumhur Ulama bersetuju bahawa merokok adalah perkara yang membatalkan puasa dan dapat mempengaruhi kadar kesihatan. Justeru penting untuk menjauhi kedua hal tersebut sebelum berpuasa.
- Melatih anggota badan untuk tunduk dan patuh kepada Allah. Bagi anggota mata, pelihara dari memandang sesuatu yang diharamkan Allah. Bagi anggota mulut, peliharalah agar mulut sentiasa diam dan tidak berbahasa kasar seperti mencarut. Bagi telinga, biasakan juga untuk mendengar perkataan dan lafaz perkataan yang baik. Bahkan boleh lazimi telingan dengan perkongsian agama.
- Perbanyakkan ibadah seperti istighfar, selawat dan zikir-zikir seperti tahlil, tahmid dan takbir. Zikir-zikir ini boleh ditingkatkan dari sehari ke sehari. Misalnya hari ini istighfar 50x kemudian tingkatkan lagi ke 100x pada keesokan harinya. Selain itu, berlatihlah puasa sunat sebelum nisfu syaaban untuk melatih diri berpuasa sebulan, supaya budan tidak terlalu terkejut.
- Meletakkan sasaran ibadah yang ingin dicapai. Sebagaimana hal-hal duniawi yang perlu ditetapkan matlamat, begitulah juga ukhrawi. Ramadan bukan seperti bulan biasa yang boleh dibazirkan begitu sahaja. Ramadan adalah bulan nikmat dan rahmat dimana segala kebaikan dikurniakan amal yang berganda-ganda. Justeru, sasarkanlah ibadah yang ingin dicapai seperti merancang jumlah sedekah yang ingin diberi, jumlah mukasurat quran yang disasarkan untuk membaca setiap hari, jumlah zikir harian yang ingin dicapai yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
- Membersihkan kawasan rumah. Secara kebiasaannya, kita akan membersihkan rumah sebelum tiba hari raya yang merupakan 10 hari terakhir Ramadan. Namun sebenarnya adalah lebih baik kita mempersiapkan keadaan rumah sebelum tiba waktu Ramadan agar boleh menumpukan sepenuhnya terhadap ibadah Ramadan. Bahkan, persekitaran yang bersih, suasana yang berubah dapat menimbulkan ‘mood’ yang segar dan memberi keceriaan serta semangat untuk beribadah.
Secara tuntasnya, segala perancangan yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan ibadah di bulan Ramadhan adalah ibadah yang berkualiti serta meminimakan gangguan yang boleh mengurangkan perjalanan ibadah. Semoga ibadah puasa kita diterima Allah dan mendapat keberkatan dariNya.