
KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal lebuh raya negara berkemungkinan akan mengekalkan formula ‘campuran’ membabitkan gabungan atlet kebangsaan bersama pelumba pasukan profesional bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.
Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kontinjen negara sejak beberapa edisi temasya dwitahunan itu menggunakan resipi sama dan ia tampak membuahkan hasil.
Begitupun katanya, fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan kejayaan kontinjen negara di Sukan SEA Bangkok 2025 hujung tahun ini sebelum membuat keputusan rasmi mengenai perkara itu dibuat.
Malaysia ketika ini memiliki pasukan yang dianggap jaguh dalam arena sukan berbasikal lebuh raya di peringkat benua menerusi Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC).
“Model penggabungan ini nampaknya sangat berjaya, seperti yang pernah ditunjukkan pada edisi 2021 dan 2023. Itu sebab kita teruskan di Bangkok 2025, dan saya percaya ia akan turut berjaya di sana.
“Dan jika berhasil, sudah tentu kita nak melanjutkannya ke edisi 2027 di Kuala Lumpur. Gabungan ini penting kerana pelumba TSG mempunyai pendedahan luas di kejohanan antarabangsa, MPC juga ada kekuatan khusus termasuk pendaki, manakala skuad kebangsaan melengkapkan kombinasi berkenaan.
“Ia ibarat resipi kejayaan, kita ambil kelebihan daripada setiap pasukan, bukan hanya bergantung kepada pelumba kebangsaan semata-mata,” katanya.
Skuad negara bagi acara lebuh raya di Bangkok nanti akan menyenaraikan sembilan pelumba iaitu lima daripada TSG – Nur Aiman Zariff, Nur Aiman Rosli, Kee Zhe Yie, Amirul Fakhruddin Mazuki dan Wan Abdul Rahman Hamdan; dua daripada MPC, Syawal Mazlin dan Zawawi Azman; serta dua pelumba skuad kebangsaan iaitu Tsen Ren Bao dan Ameer Ahmad Kamal.
Sumber : BERITA HARIAN





