Polis Kelantan Bongkar Taktik Baharu Tauke Dadah Pancing Pelajar Dengan Gaya Hidup Mewah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Polis Kelantan mendedahkan segelintir tauke dadah di negeri ini menjadikan gaya hidup mewah sebagai umpan untuk menarik minat pelajar sekolah terlibat dalam pengedaran dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kemewahan yang dipamerkan golongan terbabit menyebabkan remaja berasa teruja dan akhirnya menjadikan mereka sebagai idola.

“Mereka (tauke dadah) mempamerkan kemewahan untuk menarik minat pelajar. Akhirnya pelajar ini terpengaruh dan mula terlibat secara kecil-kecilan. Apabila melihat hasil lumayan, mereka terus terjebak,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad, dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin.

Menurut Mohd Yusoff, pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterima pihak polis dan pemantauan kini sedang dijalankan bagi mengekang gejala tersebut.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 12 tangkapan membabitkan pelajar sekolah direkodkan antara Januari hingga September tahun ini kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Daripada jumlah itu, lima pelajar ditahan di Kota Bharu, empat di Tanah Merah, dua di Pasir Mas dan seorang di Bachok,” katanya.

Sumber : Sinar Harian