Polis Kesan Individu Hantar SMS Ugut Fasiliti LNG Sarawak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ancaman keselamatan terhadap semua fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) atau gas asli cecair di Bintulu, Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu berkenaan.

“Kita dalam proses mengenal pasti siapa yang hantar ugutan tersebut. Dari sudut keselamatan, kawalan akan dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-undang (NAFSLE) Edisi Keenam 2025 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, terdapat laporan polis dibuat pegawai Petronas yang bertugas di Bintulu mendakwa menerima beberapa mesej ugutan daripada individu tidak dikenali.

“Pegawai Petronas menerima beberapa ugutan melalui mesej pesanan ringkas (SMS). Setelah beberapa kali menerima ugutan tersebut, beliau membuat laporan polis,” katanya.

Pada Isnin, media melaporkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu, Sarawak memperketat kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bagi membolehkan pihak keselamatan dan agensi berkaitan melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman tersebut.

MKN menegaskan agensi keselamatan negara kekal bersedia berdepan sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah kawalan terhadap ancaman berkenaan.

Sumber : SINAR HARIAN