Polis Pahang Kenal Pasti 24 Projek Baik Pulih, Selenggara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Polis Kontinjen Pahang setakat ini telah mengenal pasti 24 projek kerja baik pulih dan selenggara, untuk dilaksanakan menerusi peruntukan yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata projek tersebut, memberi keutamaan kepada baik pulih kuarters kakitangan dan balai polis yang uzur, selain kerja pembaikan am di fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh daerah di negeri itu.

“Pembaikan ini diharap dapat memberi kelegaan dan keselesaan kepada penghuni kuarters, memandangkan ada yang sangat perlu dibaiki atas faktor usia yang terlalu lama… ada yang berusia lebih 20 tahun walaupun ada kerja baik pulih dilakukan sebelum ini.

“Kita berharap peruntukan yang diumumkan, membolehkan lebih banyak kerja baik pulih dan selenggara dilakukan, selain dibuat lebih menyeluruh terutamanya pembaikan penting seperti kerosakan bumbung, bilik air, lantai dan tangki air,” katanya kepada Bernama di sini.

Yahaya yang berterima kasih atas pengumuman peruntukan itu juga berkata pihaknya sudah mempunyai penilaian awal anggaran kos diperlukan dan kini menunggu agihan peruntukan itu, supaya kerja-kerja terlibat boleh dilaksanakan segera untuk kemudahan kakitangan PDRM Pahang.

Ini berikutan semua Ketua Polis Daerah di Pahang, sudah mengemukakan senarai baik pulih yang diperlukan, kerana kerja melibatkan pembaikan dilakukan secara berterusan setiap tahun, bagi membolehkan permohonan itu ‘diangkat’ ke Bukit Aman.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pahang Datuk Abu Hasan Hussain berkata sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan untuk membaiki kuarters kakitangan Penjara Penor, di sini antaranya melibatkan kebocoran bumbung dan siling, yang memanfaatkan penghuni kuarters yang terletak di jalan utama Kuantan-Pekan itu.

“Selain membuktikan kerajaan prihatin dengan kebajikan penjawat awam, langkah ini secara tidak langsung dapat memberikan keselesaan yang lebih baik kepada kakitangan penjara, yang tinggal di kuarters.

“Saya menyambut baik langkah kerajaan untuk tambah baik infrastruktur sedia ada, khusunya apabila ia melibatkan Jabatan Penjara dan saya berpandangan usaha ini perlu diperluas dengan menaik taraf bangunan penjara dan kuarters di seluruh Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk menyelenggara kemudahan agensi KDN, antaranya PDRM selain RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga ATM dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

— BERNAMA