PRK DUN Pelangai Bermula Hari Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bermula hari ini dengan pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini akan dibuka pada jam 9 pagi.

Semua calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi ini untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai itu adalah yang ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung lebih lapan bulan lalu.

Bulan lalu PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menyaksikan kemenangan berpihak kepada calon Pakatan Harapan (PH) daripada AMANAH.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan 3 Oktober sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH- 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon PEJUANG -65 undi).

Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mulai dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada Barisan Nasional-UMNO (BN-UMNO), dengan bekas Menteri Besar Pahang mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022).

Johari yang juga anak jati Pelangai dicalonkan BN pada PRU15 dan mengekalkan kerusi itu untuk terus menjadi kubu kuat parti itu di Pahang.

Setakat ini, SPR mengumumkan tujuh borang penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai sudah terjual yang mana dibeli UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan sebuah pertubuhan bagi wakil bebas.

Justeru, bagi penamaan calon hari ini dijangka PRK kali ini akan menyaksikan saingan tiga penjuru yang mana calon Bebas itu adalah Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang yang juga ahli UMNO Kampung Sum Sum, Haslihelmy DM Zulhasli.

Haslihelmy dikatakan menjadi individu terawal ‘berkunjung’ ke pejabat SPR untuk membeli borang pada 29 Ogos lalu.

Kelmarin, BN-UMNO dan PN sudah pun menamakan calon masing-masing yang menyaksikan Kasim yang juga pesara guru kembali dicalonkan bagi merebut kerusi itu menentang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam.

Pada PRU15, Amizar pernah bertanding kerusi DUN Ketari tetapi tewas kepada calon PH, Su Keong Siong.

Jika dilihat kepada rekod PRU15, BN-UMNO dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kerusi DUN itu lebih-lebih lagi kini mereka bekerjasama dengan PH yang mana undi BN dikira bersama PH.

Bagaimanapun, percaturan itu mungkin akan berubah berdasarkan keputusan mengejut BN-UMNO dalam PRU15 dan PRN lalu, yang menyaksikan banyak kerusi BN-PH dimenangi calon PN.

Seorang penganalisis politik dan bekas pemimpin politik Pahang, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata saingan PN tidak boleh dinafikan kerana parti itu memenangi 17 kerusi di Pahang ketika ini.

Keputusan PRK Pelangai itu nanti akan menyaksikan perubahan dari segi kedudukan parti dalam DUN Pahang.

Jika BN-UMNO kekal kerusi itu, maka DUN Pahang berada dalam status quo dan sebaliknya jika PN menang kerusi itu menyebabkan mereka mempunyai 18 kerusi berbeza dua kerusi dengan BN-UMNO. Namun perlu diingat BN-UMNO kini mendapat sokongan PH melalui lapan kerusi.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi DUN dan mana-mana parti perlu menang 22 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah.

Kemenangan BN-UMNO pada PRK ini juga penting bagi membuktikan kepada penyokong Kerajaan Perpaduan bahawa parti berkenaan masih mampu memberikan input positif kepada kerjasama politik BN-PH.

– BERITA HARIAN