PRK DUN Pelangai: PAS Pahang Serah Tiga Nama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – PAS Pahang menyerahkan tiga nama kepada pucuk pimpinan pusat parti itu untuk dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, berkata tiga nama yang disenarai pendek itu adalah pemimpin tempatan dari Bahagian PAS Bentong.

“PAS Pahang menyerahkan tiga nama kepada Majlis Syura PAS untuk dipertimbangkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada PRK DUN Pelangai.

“Mereka juga adalah pemimpin aktif dari Bentong dan calon yang boleh diterima dan disenangi di kawasan itu dan boleh membawa kemenangan kepada PN.

“Mereka memenuhi semua kelayakan yang diperlukan untuk berkhidmat dan menjadi suara rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Justeru, Andansura berkata, PAS Pahang menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat pilihan dan membuat pengumuman calon berkenaan.

“Persiapan menghadapi PRK ini akan diselaraskan dalam kalangan rakan gabungan PN dan menjangkakan beberapa siri mesyuarat akan diadakan bagi memastikan semuanya berjalan lancar menjelang hari penamaan calon,” katanya.

Sementara itu, Kasim Samat yang juga calon DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengesahkan beliau antara tiga nama yang diserahkan kepada PAS Pusat.

“Saya tiada masalah jika diberi peluang daripada parti untuk bertanding sekali lagi pada PRK Pelangai,” katanya yang juga Naib Yang Dipertua PAS kawasan Bentong.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

– BERITA HARIAN