
KUALA LUMPUR: Fenomena yang pernah dicipta kumpulan heavy metal tersohor, XPDC menerusi Konsert Raksasa di Stadium Negara pada 1998 kekal menjadi detik bersejarah sukar dilupakan dalam landskap muzik rock tempatan.
Lebih dua dekad berlalu, kenangan menyaksikan lebih 10,000 peminat berhimpun meraikan kehebatan XPDC masih segar dalam ingatan anggota kumpulan itu.
Namun, pemain bes XPDC, Eddie, mengakui detik epik itu hanya berlaku sekali dalam hidup mereka.
“Sebenarnya benda itu (Konsert Raksasa XPDC 1998) takkan boleh berulang sebab tanda arasnya sudah ada di situ.
“Ia tetap milik tahun 1998, jadi sekarang kami buat sesuatu yang lain,” katanya ditemui pada sesi latihan Konsert Metalkestra XPDC di Studio Shoreline Space, di sini, malam tadi.
Eddie berkata, XPDC kini mahu terus fokus memperjuangkan muzik dengan memberi sepenuh jiwa menjayakan konsert Metalkestra XPDC yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, 8 November ini.
“Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak dan kesihatan yang baik, kami akan cuba jayakan konsert kali ini.
“Mungkin juga akan ada perbincangan bersama pihak Republic Mokhmah Records (RMR) selaku penganjur, dan jika diteruskan selepas ini, mungkin konsert akan dibuat di lokasi berskala lebih besar,” katanya.
Konsert Raksasa XPDC yang berlangsung di Stadium Negara pada April 1998 mencetuskan fenomena luar biasa dalam industri muzik tanah air.
Ketika itu, XPDC yang dibarisi Ali (vokalis), Izo (gitar), Zuar (bes) dan Lola (dram) dilapor mencatat sejarah kegemilangan tersendiri meskipun ketika genre rock dan metal dikatakan semakin suram.
Kini, XPDC yang ditunjangi Mamu sebagai vokalis bersama barisan anggota iaitu Izo, Eddie, Lola dan Arif bersedia membawa semangat lama dengan nafas baharu menerusi Konsert Metalkestra XPDC.
Sumber : BERITA HARIAN





