
RAMALLAH: Pusat operasi kerajaan untuk intervensi kecemasan di Gaza, merayu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa serta kemanusiaan supaya mengambil tindakan segera menjelang ketibaan musim sejuk, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, semalam, pusat operasi itu menegaskan pusat perlindungan alternatif dan selamat perlu diwujudkan segera sebelum keadaan bertambah buruk.
Ia bagi menyelamatkan ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal, yang berisiko menghadapi banjir di kawasan tanah rendah di Semenanjung Gaza.
Malah, pusat operasi itu memberi amaran situasi kemanusiaan kini berada pada tahap bahaya, terutama di kawasan yang paling terdedah kepada risiko banjir, takungan air hujan serta limpahan air laut, berikutan kemusnahan besar infrastruktur akibat pencerobohan dan serangan berterusan oleh rejim Israel sejak dua tahun lalu.
Kenyataan itu turut menyorot kerosakan serius pada sistem saliran dan jalan raya, serta kekurangan kemudahan asas perlindungan dan pemanasan bagi ribuan keluarga terbabit.
Antara lokasi paling berisiko mengalami banjir serta runtuhan ialah kawasan Al-Jazira di sepanjang Jalan Salah al-Din dari persimpangan Maghazi hingga ke Bureij, Sahn al-Barka, dan lembangan Wadi al-Salqa di wilayah tengah.
Mereka yang kehilangan tempat tinggal juga dilaporkan terpaksa berkumpul di sepanjang Jalan Al-Rashid di pesisir pantai yang menjangkau 26 kilometer dari utara ke selatan Semenanjung Gaza, serta di kem pelarian di timur Deir al-Balah dan Jalan Al-Nafaq di Bandar Gaza.
Ketua pusat operasi kerajaan, Samah Hammad, mengesahkan keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza kini amat kritikal, dengan keluarga rentan di kawasan pantai dan tanah rendah itu berdepan risiko bencana banjir pada bila-bila masa.
Beliau menegaskan wujud keperluan sangat mendesak untuk memindahkan golongan terbabit ke pusat perlindungan yang selamat, selain menyediakan bantuan penting kepada mereka.
Hammad menjelaskan bahawa organisasi antarabangsa mempunyai bekalan perlindungan sedia digunakan, namun masih menunggu kebenaran untuk membawanya masuk ke Gaza.
Namun, katanya, pihak pendudukan terus menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan serta gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata yang menetapkan kemasukan 600 lori bantuan setiap hari.
Beliau berkata, antara 1 hingga 25 Oktober lalu, hanya 5,078 lori bantuan dibenarkan memasuki Gaza dengan purata 203 lori sehari – jauh lebih rendah daripada keperluan minimum kemanusiaan, terutama bahan perlindungan dan khemah.
Sebagai sebahagian daripada pelan bantuan serta pemulihan awal, katanya, Kementerian Kerja Raya dan Perumahan telah mengenal pasti sebanyak 294 tapak perlindungan sementara yang dilengkapi perkhidmatan air serta sanitasi berhampiran kawasan kediaman asal.
Hammad sekali gus menggesa organisasi kemanusiaan supaya berkoordinasi dengan pusat operasi untuk menubuhkan pusat perlindungan di lokasi yang dikenal pasti.
Beliau turut menyeru komuniti antarabangsa supaya memberi tekanan untuk kemasukan bantuan kemanusiaan yang mencukupi dan tanpa had dengan serta-merta.
Ia termasuk bahan bantuan, khemah, peralatan perlindungan dan juga unit perumahan pasang siap, bagi memastikan keselamatan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal yang sedang hidup dalam keadaan amat getir.
Sumber: Berita Harian





