Runtuhan Tasik Kenyir: Kerajaan Pusat Beri Perhatian Segera

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Projek tebatan banjir dan isu keselamatan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu antara yang akan diberi perhatian Kerajaan Pusat.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Pusat memandang serius berkaitan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Masalah di Tasik Kenyir, berlaku runtuhan dan (bagi) menjamin keselamatan kawasan, saya bincang dengan Tan Sri Mohd Zuki Ali (Ketua Setiausaha Negara), kalau itu benar-benar satu hal yang mendesak untuk menjamin keselamatan bukan sahaja di kawasan di Tasik Kenyir tetapi Terengganu.

“(Hal ini) kerana limpahan air dan kerosakan mungkin berlaku, maka saya akan beri perhatian segera walaupun Menteri Besar itu daripada parti lain.

“Itu tak menjadi masalah, dia kalau masalah rakyat, kita harus bersama tetapi saya nak tunjukkan di sini itulah cara kita bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani Perdana Menteri Bersama Rakyat Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, projek tebatan banjir di Terengganu juga akan disegerakan bagi mengurangkan masalah banjir di negeri ini.

Beliau berkata, projek itu akan disegerakan bagi meringankan beban rakyat

“Ada satu lagi yang saya ambil maklum tentang

projek tebatan banjir kerana tak mungkin kita tak boleh tambah ikhtiar untuk meringankan beban rakyat, kerosakan harta benda, keselamatan nyawa dan diri,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan penambahan peruntukan di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM100 juta untuk projek baik pulih rumah, sistem saliran dan perparitan, dan bekalan air bersih di Terengganu.

Sumber: METRO