Selain Harimau, Orang Asli Gua Musang ‘Diancam’ Aktiviti 4×4

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Hampir 1,000 penduduk Pos Bihai berharap aktiviti pacuan empat roda (4×4) di kawasan berkenaan dihentikan terutama pada musim tengkujuh berikutan kegiatan itu menyebabkan jalan ke pos berkenaan rosak teruk.

Penduduk mendakwa aktiviti itu merosakkan satu-satunya jalan perhubungan ke perkampungan mereka sehingga sukar untuk keluar membeli barangan keperluan.

Apek Asud, 39 berkata jalan terbabit dalam usaha dibaiki dan dinaiki taraf, namun aktiviti lasak menyebabkan jalan kembali rosak.

Katanya, apabila hujan, jalan akan rosak teruk sehingga tidak boleh dilalui penduduk untuk keluar ke bandar.

“Keadaan ini merisaukan kami tambahan pula tidak lama lagi musim hujan, jadi semakin sukar untuk kami keluar kerana jalan rosak.

“Kami hanya menggunakan motosikal untuk keluar dan masuk bagi mendapatkan barangan makanan. Apabila jalan rosak ada kalanya kami terpaksa bermalam dalam hutan untuk keluar dan masuk,” katanya ketika ditemui, di sini.

Apek berkata, walaupun kumpulan peminat aktiviti 4×4 ada memberikan bantuan kepada penduduk, ia tidak berbaloi apabila penduduk terpaksa berhadapan dengan jalan rosak teruk dan merisikokan nyawa apabila terpaksa bermalam dalam hutan.

“Kasihanilah kami di sini. Kami perlu keluar membeli makanan dan musim tengkujuh akan datang tidak lama lagi.

“Keadaan sekarang susah untuk kami keluar dan masuk ke penempatan di tambah pula dengan harimau berkeliaran di kawasan kampung,” katanya.

Bagi penghulu Tendrik, Pos Bihai, Alang Segan, dia berharap tiada lagi aktiviti 4×4 ke kawasan perkampungan itu yang juga menjadi laluan utama untuk ke Pos Belatim dan Pos Balar.

“Jika betul ada keperluan, bolehlah masuk dan tak perlulah sehingga 30 hingga 40 kenderaan masuk serentak kerana ia akan merosakkan jalan.

“Saya harap aktiviti ini dapatlah dihentikan atau ditangguhkan buat sementara waktu sehingga masalah jalan selesai. Kami pun ingin menggunakan jalan yang selesa untuk keluar masuk.

“Kalau musim kemarau dan jalan tidak rosak, hanya satu jam lebih sahaja masa diambil untuk ke bandar Gua Musang dengan menggunakan motosikal,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, berkata pihaknya kerap kali mengingatkan kumpulan 4×4 bahawa jalan yang mereka lalui adalah jalan utama penduduk Orang Asli.

“Kerosakan jalan ini mengganggu kehidupan harian mereka termasuk membawa anak ke sekolah atau pesakit keluar ke hospital. Jadi saya syorkan deposit RM50,000 perlu ditetapkan kepada mana-mana kumpulan 4×4 yang nak buat aktiviti melibatkan laluan Orang Asli.

“Meskipun deposit berkenaan tidak mencukupi untuk membaiki jalan yang rosak namun sekurang-kurangnya mereka beringat dan berhati-hati sewaktu melakukan aktiviti lasak membabitkan jalan Orang Asli.

“Jika alasan menghantar bakul makanan, saya berpandangan sumbangan berkenaan boleh disalurkan pada Pusat Kawalan Operasi Bencana (POKB) seliaan Pejabat Tanah dan Jajahan atau pada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau pada Pusat Khidmat ADUN Galas,” katanya.

– BERITA HARIAN