Seludup Senjata Api: Polis Buru Ahli Sindiket Rakyat Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti pembabitan beberapa individu dalam kegiatan penyeludupan senjata api susulan tangkapan seorang lelaki rakyat Malaysia bersama senjata api jenis M4 dan ratusan butir peluru di Sadao, Songkhla, Thailand, bulan lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama Polis Thailand Region 9 yang memaklumkan perkara tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati terdapat beberapa lagi individu dipercayai rakyat Malaysia daripada sindiket sama yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api.

“Usaha mengesan mereka sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas.

“Di peringkat kita (JKDNKA), usaha mempertingkatkan keselamatan sempadan sama ada sepanjang laluan atau Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) selain memperketatkan sekatan bagi mengesan sebarang ancaman termasuk penyeludupan senjata api,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan JKDNKA Tahun 2025 di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, pada Khamis.

Media tempatan sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat kaitan sindiket dadah dalam negara susulan penahanan seorang lelaki rakyat Malaysia bersama senjata api jenis M4 dan ratusan butir peluru di Sadao, Songkhla, Thailand, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan dakwaan senjata berkenaan diseludup masuk untuk kegunaan sindiket dadah.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada 5.35 petang di sekatan jalan raya oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao pada 29 Ogos lalu.

Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia menemukan dua laras raifal M4, 300 butir peluru kaliber 5.56 milimeter (mm), tujuh kelopak peluru 5.56mm, 100 butir peluru kaliber.45mm serta 50 butir peluru kaliber 9mm.

Semua senjata dan peluru berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut pihak berkuasa Thailand.

Sumber : SINAR HARIAN