Sembilan Kemalangan Direkod Sepanjang Dua Hari Op Selamat 21 Di Besut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERTIH — Sebanyak sembilan kemalangan direkodkan sepanjang dua hari pelaksanaan Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina kali ini di daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata daripada jumlah itu, hanya satu kemalangan maut dilaporkan.

Beliau berkata operasi yang bermula Khamis lepas dan bakal berakhir pada Selasa (13 Feb) ini dilaksanakan untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya agar selamat tiba ke destinasi. 

“Operasi juga bertujuan untuk memperkasakan, pembudayaan, pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya serta pemantauan di lokasi-lokasi hotspot dan blackspot.

“Kekuatan penugasan harian sepanjang tempoh Op Selamat ini ialah seramai empat pegawai dan 19 anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Besut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pihaknya juga melaksanakan Operasi Pencegahan Jenayah melibatkan tiga pasukan tambahan termasuk satu pasukan dikenali sebagai Tim Cantas dengan tumpuan penugasan di lokasi hotspot jenayah dalam daerah itu.

Setakat dua hari pelaksanaan operasi tersebut, Abdul Rozak berkata satu kes jenayah kekerasan dan dua kes jenayah harta benda direkodakan.

“Polis mengalu-alukan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan pelanggaran undang-undang dan kemalangan jalan raya supaya menyalurkannya melalui nombor telefon di talian 09-6959999 (Pusat Kawalan Daerah Besut),” katanya.

— BERNAMA