Sidang DUN : 159 Menara Telekomunikasi Siap Dibina Bagi Laksana 5G Di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sebanyak 159 menara telekomunikasi daripada 361 tapak yang dirancang telah siap dibangunkan setakat 30 April lalu bagi pelaksanaan rangkaian 5G di negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, pembinaan menara ini merupakan satu usaha berterusan dalam menambah baik perkhidmatan komunikasi di negeri ini.

“Sebagai usaha berterusan dalam menambah baik perkhidmatan komunikasi di Pahang, pelaksanaan 5G di bandar-bandar utama di Pahang telah dimulakan pada penghujung tahun 2022 oleh Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat yang dilantik oleh Kerajaan.

“Bagi memastikan pelaksanaan ini dijalankan mengikut perancangan, Kerajaan Negeri bersama SKMM sentiasa memantau dan menyelia pelaksanaan 5G di Pahang, bagi memastikan perkhidmatan tersebut dapat dinikmati, dan memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata pembinaan ini melibatkan lima daerah dan baki tapak yang masih dalam pelaksanaan dijangka siap sehingga penghujung tahun ini.

“Sehingga 30 April 2023, sebanyak 159 tapak daripada 361 tapak, atau 44 peratus, di Pahang telah siap dibangunkan oleh Digital Nasional Berhad. Tapak-tapak ini melibatkan Kuantan (104 lokasi), Pekan (17 lokasi), Temerloh (13 lokasi), Bentong (14 lokasi) dan Rompin (11 lokasi).

“Baki 202 tapak lagi sedang dalam peringkat pelaksanaan, dan dijangka akan siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2023,” katanya.

Menurut beliau lagi, kadar liputan jalur lebar mudah alih 4G di Pahang telah meningkat kepada 94.31 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Berdasarkan perkembangan terkini, kadar liputan jalur lebar mudah alih 4G untuk Negeri Pahang telah meningkat daripada 89.1 peratus pada Suku Kedua 2020 iaitu sebelum JENDELA bermula kepada 94.31 peratus pada Suku Pertama 2023.

“Kadar ini akan terus meningkat, apabila semua projek JENDELA Fasa 1 siap, khususnya pembinaan menara baharu yang dijangka akan siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini,” katanya.

– PAHANGMEDIA