Skuad Remaja Tewas Tipis di Tangan India

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja wanita negara memberikan tentangan sengit sebelum terpaksa akur tewas 1-2 di tangan juara 2012, India pada aksi kedua Kumpulan A Kejohanan Piala Remaja Asia di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Pada aksi itu, Malaysia bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri yang meledak gol padang seawal minit keenam.

Bagaimanapun, India kembali menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mumtaz Khan pada minit ke-10 sebelum Deepika menjaringkan gol kemenangan pasukan itu hasil penalti stroke minit ke-26.

Jurulatih negara, Lailin Abu Hassan, berkata biarpun tewas namun dia berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan barisan pemain wanita negara sekali gus membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan gergasi seperti India.

“Saya berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemain, mereka betul-betul mahukan kemenangan dan beri persembahan terbaik dalam perlawanan hari ini. Mereka sudah buktikan bahawa kita sememangnya boleh memberikan tentangan kepada pasukan yang kuat seperti India,” katanya.

Lailin bagaimanapun menuntut barisan pemainnya kembali bangkit untuk menghasilkan kemenangan pada pertemuan dengan Uzbekistan, esok bagi menghidupkan peluang melangkah ke peringkat separuh akhir.

“Sudah tentu kita memerlukan kemenangan pada perlawan esok untuk kekal bersaing. Saya harap dalam tempoh 24 jam ini, pemain akan menjalani proses pemulihan yang baik bagi berada dalam prestasi terbaik selepas mereka mengharungi tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh tiga hari,” kata Lailin.

– BERITA HARIAN