Skuad ‘Segar’ Nanti Gajah Perang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 23 tahun (B-23) bakal mempertaruhkan skuad terbaik mereka bagi misi penting berdepan Thailand pada aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi, malam ini.

Dengan slot juara kumpulan menjadi rebutan, kedua-dua pasukan perlu meraih kemenangan bagi memastikan mereka lolos secara automatik ke Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan penggiliran pemain dibuat dalam dua aksi pertama berdepan Bangladesh dan Filipina untuk memastikan mereka dapat tampil dengan skuad yang ‘segar’ ketika menentang skuad ‘Gajah Perang’.

“Kita boleh menjaringkan lebih banyak gol menentang Filipina tetapi kita tahu akan menghadapi tentangan yang sengit untuk berdepan Thailand nanti. Jadi kita membuat keputusan merehatkan beberapa pemain tonggak kita.

“Kita berkongsi mata dengan Thailand ketika ini dan hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan. Thailand adalah pasukan yang baik tetapi saya tetap optimis kerana setiap perlawanan adalah berbeza.

“Thailand sudah menunjukkan kekuatan yang setara dari segi strategi dan ini sudah pasti akan memberikan saingan yang sengit kepada kita,” kata Shahril.

Dalam perkembangan sama, Shahril mengakui skuad B-23 tidak boleh mengambil ‘risiko’ dengan mengharapkan slot selaku empat naib juara terbaik sebaliknya perlu mengesahkan tempat ke pusingan akhir dengan selesa selaku juara kumpulan.

“Kita sudah membuat perkiraan di mana walaupun kita seri, berkemungkinan besar kedua-dua pasukan akan pergi ke pusingan akhir tetapi kita mahu menjadi juara kumpulan,” katanya.

Sebagai rekod, hanya 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik selain tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung di Qatar, tahun depan.

Saingan Piala Asia B-23 ini memberikan slot untuk ke Sukan Olimpik 2024 bagi tiga pasukan terbaik sementara pasukan keempat terbaik akan mengharungi ‘play-off’ menentang pasukan dari Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).

– BERITA HARIAN