Spence Pemain Muslim Pertama Sertai Skuad England

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BIRMINGHAM: Perlawanan kelayakan menentang Andorra di Villa Park bakal mencipta sejarah sekiranya Djed Spence melakukan penampilan sulung bersama skuad England.

Pertahanan Tottenham itu berpeluang menjadi pemain beragama Islam pertama yang mewakili England dalam bola sepak, sesuatu yang dianggapnya sebagai satu “rahmat”.

“Ia luar biasa. Saya sendiri terkejut apabila mengetahuinya. Menjadi yang pertama, ia sangat besar maknanya buat saya. Kepercayaan saya sangat penting. Saya tiada kata-kata untuk menggambarkannya,” kata Spence, 25, yang sering berkongsi mengenai pegangan agamanya di media sosial.

Spence sebelum ini dipuji bekas pengendali Spurs, Ange Postecoglou, kerana tetap beraksi sepanjang Ramadan musim lalu.

Baginya, agama menjadi kekuatan utama ketika berdepan saat sukar termasuk kritikan daripada Antonio Conte dan Neil Warnock.

Conte pernah menyifatkan Spence sebagai “pelaburan kelab” selepas perpindahan bernilai 20 juta pound (RM120 juta) dari Middlesbrough pada tahun 2022, manakala Warnock pula meragui mentalitinya.

Aksi Djed Spence (kanan) dalam saingan Liga Perdana Inggeris di London, minggu lalu. – Foto REUTERS

Namun Spence membalas keraguan itu dengan kejayaan bersama Nottingham Forest dalam aksi play-off Kejuaraan.

“Dalam saat paling sukar, saya percaya Tuhan sentiasa di sisi saya. Ketika menang, saya juga mempromosikan nama-Nya kerana Dia sentiasa bersama saya,” katanya.

Spence yang berdarah campuran Jamaica dan Kenya menegaskan dia tidak rasa tertekan menjadi wakil Muslim pertama dalam skuad England. Sebaliknya, dia mahu mengangkat mesej positif buat generasi muda.

“Kalau saya boleh lakukannya, anda juga boleh. Bukan hanya anak-anak Muslim, tetapi sesiapa sahaja. Letakkan tekad, anda pasti boleh capai,” tambahnya.

Sementara itu, Ruben Loftus-Cheek dipanggil semula selepas tujuh tahun menyepi daripada skuad England.

Pemain tengah AC Milan itu ditambah ke dalam senarai selepas Adam Wharton cedera ketika bersama Crystal Palace.

Sumber : BERITA HARIAN